Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti dalam menentukan calon dari kalangan wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya sudah menghantar nama calon-calon daripada Srikandi Sabah yang dirasakan mempunyai kriteria sekali gus boleh menang.

“Nama-nama calon yang kita hantar adalah dari kalangan wanita yang disenangi rakyat.
“Apa yang penting calon itu membawa suara wanita sebagai pembuat dasar dan pelaksana kepada dasar,” katanya dalam satu sesi sidang media khas di Pejabat Bersatu Negeri Sabah di petang Ahad.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan, Srikandi akan mengekalkan hubungan baik sesama rakan sekutu dalam komponen Perikatan Nasional (PN) dan sama-sama berjuang memenangi hati rakyat dalam PRN nanti.

Sementara itu, Rina memberitahu bahawa prestasi Srikandi Sabah yang dipimpin Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berada pada tahap baik dan cemerlang.

Malah, beliau berpuas hati dengan gerak kerja dan komitmen Srikandi Sabah sebagai tulang belakang parti dan menyantuni rakyat..

“Srikandi Sabah memang amat serius dan cemerlang dalam melaksanakan gerak kerja di semua peringkat .
“Mereka juga bersedia lebih awal dengan pelbagai aktiviti turun padang bertemu rakyat, sentuhan kasih, kunjungan rumah ke rumah di kawasan pedalaman, demi memberikan penerangan tentang Bersatu kepada rakyat Sabah,” katanya.